Bahaya Vitamin dan Suplemen Tanpa Nasihat Pakar
Saya sering berjumpa dengan warga emas seperti pakcik dan makcik yang gemar mengambil vitamin dan suplemen tanpa nasihat doktor atau ahli farmasi. Malah, ada yang lebih percaya kepada "ubat kampung", "supplemen semulajadi" 🫚 atau nasihat rakan-rakan (atau iklan) berbanding ubat yang diberikan oleh doktor.
Saya faham, pakcik dan makcik mungkin risau tentang kesan sampingan ubat-ubatan. Tapi tahukah anda, pengambilan vitamin dan suplemen yang tidak betul juga boleh ⚠️ membahayakan kesihatan?
Mengapa Berbahaya?
- Interaksi Ubat. 💊 Vitamin dan suplemen (juga makanan) boleh berinteraksi dengan ubat-ubatan yang anda ambil. Ini boleh menyebabkan ubat tidak berkesan, atau lebih teruk, menyebabkan kesan sampingan yang serius.
- Dos Berlebihan. Pengambilan vitamin dan suplemen yang berlebihan boleh menyebabkan keracunan. Badan kita hanya memerlukan jumlah vitamin dan mineral yang tertentu sahaja.
- Kesan Sampingan. Sesetengah vitamin dan suplemen boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sakit perut, cirit-birit, alahan atau lebih teruk lagi, kematian.
- Tidak Sesuai. Vitamin dan suplemen yang sesuai untuk seseorang, mungkin tidak sesuai untuk orang lain. Setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza. 🤢
Interaksi Ubat & Makanan
Berikut adalah beberapa contoh situasi yang mungkin kelihatan biasa, tetapi sebenarnya berbahaya:
- Ubat cair darah (Warfarin) dan 🥦 sayur-sayuran hijau
Warfarin digunakan untuk mencegah pembekuan darah. Pengambilan sayuran hijau seperti bayam dan brokoli yang kaya dengan vitamin K secara berlebihan boleh mengurangkan keberkesanan warfarin. - Ubat Kencing Manis & Makanan Tambahan
Sesetengah makanan tambahan boleh meningkatkan atau menurunkan gula dalam darah. Ini boleh mengganggu kawalan kencing manis pakcik dan makcik. - Vitamin E & Ubat Jantung 🫀
Pengambilan vitamin E yang berlebihan boleh meningkatkan risiko pendarahan jika diambil bersama ubat jantung seperti aspirin. - Ubat Darah Tinggi & Buah-buahan
Buah-buahan seperti pisang 🍌 mengandungi kalium yang tinggi. Jika diambil bersama ubat darah tinggi jenis ACE inhibitor (Captopril, Enalapril dll.), boleh menyebabkan kadar kalium dalam darah menjadi terlalu tinggi dan menyebabkan masalah jantung. Anda akan berasa berdebar-debar dan jantung berdegup laju. - Ubat Antasid dan Susu 🥛
Antasid digunakan untuk melegakan pedih ulu hati/gastrik. Contoh: Magnesum Trisilicate (Gaviscon, MMT, Alucid dan lain-lain). Pengambilan susu bersama antasid boleh mengurangkan penyerapan antasid, menjadikannya kurang berkesan. - Suplemen kalsium 🦴 dan ubat jantung (Digoxin)
Suplemen kalsium boleh meningkatkan kadar kalsium dalam darah, yang boleh mengganggu fungsi ubat jantung digoxin. - Suplemen zat besi dan ubat tiroid
Suplemen zat besi boleh mengganggu penyerapan ubat tiroid, menjadikannya kurang berkesan. - Kalsium 🩻 dan ubat tiroid
Kalsium boleh mengganggu penyerapan ubat tiroid. Jadi, pakcik dan makcik perlu mengambil kedua-duanya pada jarak masa yang berbeza. - Ubat tahan sakit (NSAID) dan ubat darah tinggi
NSAID (Non-steroidal Anti Inflammatory Drug) seperti paracetamol (Contoh Panadol, Bodrex, Paracil, Uphamol dll.), aspirin, ibuprofen, diclofenac (Voltaren) dan naproxen boleh meningkatkan tekanan darah dan mengurangkan keberkesanan ubat darah tinggi. Selain itu, ubat tahan sakit meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang bagi pesakit kencing manis. - Ubat batuk dengan antihistamin (Ubat selesema atau alahan)
Mengambil kedua-duanya bersama boleh menyebabkan rasa mengantuk yang berlebihan dan berbahaya, terutamanya jika anda memandu atau mengendalikan mesin. Contoh: Chlorphenamine Maleate, ubat selesema kecil bulat warna kuning. - Suplemen herba dan ubat cair darah 🩸
Pengambilan supplemen Ginkgo biloba, ginseng, kunyit, halia, bawang putih, kulit kayu manis dan minyak ikan, minyak biji anggur (grape seed oil) juga adalah herba yang memberi kesan yang sama dengan ubat cair darah. Jika diambil bersama, ianya meningkatkan risiko pendarahan. - Antibiotik & Produk Tenusu
Produk tenusu seperti susu dan yogurt boleh mengganggu penyerapan antibiotik. - Supplemen "sakit lutut"
Contoh: Glucosamine, Chondroitin dan Methylsulfonylmethane; MSM atau Collagen. Glucosamine oleh meningkatkan gula dalam darah dan berinteraksi dengan ubat kencing manis. Chondroitin boleh meningkatkan risiko pendarahan jika diambil dengan ubat cair darah seperti warfarin. Manakala MSM boleh menyebabkan cirit-birit dan masalah perut, terutama pada warga emas dengan masalah pencernaan. Kebanyakkan produk kolagen di pasaran tinggi guladan sodium.
Nasihat Saya
- Berjumpa Doktor 🩺 atau Ahli Farmasi. Sebelum mengambil sebarang vitamin atau suplemen, berbincanglah dengan doktor atau ahli farmasi. Mereka boleh memberikan nasihat yang sesuai dengan keadaan kesihatan anda.
- Beritahu doktor/farmasi anda. Jika anda ada mengambil sebarang ubatan, herba atau supplemen maklumkan kepada doktor yang merawat anda.
- Jangan Percaya Semua Iklan. Jangan mudah terpengaruh dengan iklan 📺 yang mendakwa vitamin atau suplemen boleh menyembuhkan semua penyakit.
- Baca Label dengan Teliti. Periksa kandungan dan dos vitamin atau suplemen sebelum mengambilnya.
- Ambil Ubat dengan Betul. 🕒 Ikut arahan doktor tentang cara pengambilan ubat-ubatan. Jangan sesekali mengubah dos atau berhenti mengambil ubat tanpa nasihat doktor.
Ingatlah, kesihatan kita adalah tanggungjawab kita. Jangan ambil risiko dengan mengambil vitamin dan suplemen tanpa nasihat yang betul. Makan ubat yang disarankan oleh doktor mengikut dos dan masa yang ditetapkan. Buat pemeriksaan kesihatan berkala seperti dalam buku temujanji.
Saya harap artikel ini bermanfaat untuk pakcik dan makcik. Jika ada sebarang pertanyaan, jangan ragu untuk bertanya kepada doktor atau ahli farmasi yang berdaftar. Ianya percuma.
Comments
Post a Comment