5 Telefon Pintar Terbaik Yang Anda Boleh Miliki Di Bawah RM300

Mungkin ada di antara anda yang ingin mendapatkan peranti kedua untuk kegunaan perniagaan atau ingin dihadiahkan kepada orang tersayang. Namun dengan bajet di bawah hanya RM300, bolehkah anda mendapatkan peranti terbaik untuk kegunaan harian?
Jadi kami di Amanz ingin memperkenalkan satu ruangan yang dapat membantu anda membuat pilihan peranti terbaik dengan bajet tertentu. Akan datang, lebih banyak artikel sebegini akan dikeluarkan seperti phablet terbaik di bawah RM800, telefon terbaik di bawah RM500, dan lain-lain lagi. Sekiranya anda mempunyai cadangan, kemukakan cadangan anda mengikut bajet dan fungsi yang anda mahukan pada ruangan komen di bawah.
Sebelum itu, harga yang disenaraikan adalah mengikut harga majoriti yang disenaraikan melalui laman gedung jualan atas talian. Kami turut menyenaraikan harga mengikut dua set berbeza iaitu Original untuk set dengan waranti rasmi dan Import/AP untuk set dengan waranti daripada kedai.
05
Samsung Galaxy V Plus
Untuk penggemar peranti Samsung dengan bajet mampu-milik

Galaxy V Plus

Samsung dilihat sebagai sebuah jenama yang cukup gah apabila bercakap mengenai telefon pintar pada saat ini. Ia merupakan jenama paling popular dengan pegangan market sharesebanyak 22.5%, menewaskan Apple dengan pegangan sebanyak 15.9% di dunia. Jadi untuk itu, ada di antara pengguna lebih mengutamakan jenama Samsung sebagai pilihan telefon pintar mereka.
Galaxy V Plus dilihat sebagai peranti Samsung keluaran terkini yang dilihat paling membawakan ciri-ciri asas. Ia hadir dengan skrin 4.0-inci, cip pemprosesan dwi-teras 1.2GHz, memori 512MB RAM, storan dalaman 4GB, kamera belakang 3MP, kamera hadapan VGA, bateri 1500 mAh, dan Android 4.4 KitKat dengan antaramuka TouchWiz Essence UX.
Harga
Original: RM289
04
Lenovo A616
Untuk yang mahukan skrin bersaiz besar dan sokongan LTE

Lenovo A616

Sekiranya saiz skrin menjadi keutamaan, Lenovo A616 dilihat mampu memberikan pengalaman terbaik atas kehadiran skrin 5.5-inci. Bukan itu sahaja, ia juga satu-satunya peranti dalam senarai ini yang hadir dengan sokongan LTE untuk pelayaran pantas 4G.
Lenovo A616 dilihat cemerlang di atas penggunaan cip pemprosesan MediaTek empat-teras berasaskan Cortex-A53 yang memberikan prestasi terpantas dengan sokongan 64-bit. Ia juga hadir dengan kamera 5MP autofokus dengan rakaman HD 1080p dalam memberikan nilai yang lebih untuk fungsi penggambaran. Cuma satu sahaja yang tidak melayakkan ia berada pada senarai yang lebih atas, memorinya hanya dibekalkan sebanyak 512MB RAM LPDDR3. Ia mungkin memberikan prestasi yang lancar (atas penggunaan Android 4.4 sebagai sistem operasi), namun untuk multitasking dan permainan, ia memerlukan lebih memori untuk beroperasi dengan lancar.
Dari segi spesifikasi, ia dijana dengan cip MediaTek M76732M empat-teras Cortex-A53 1.3GHz 64-bit, memori 512MB RAM, storan dalaman 4GB dengan microSD, kamera belakang 5MP dengan rakaman HD 1080p, kamera hadapan VGA, bateri 2250 mAh, dan Android 4.4 KitKat.
Harga
Import/AP: RM199
03
Microsoft Lumia 430
Jalan pintas untuk mencuba Windows 10 Mobile

Lumia 430 White BG

Di bawah RM300 sebenarnya anda boleh mendapatkan sebuah peranti yang dijana dengan sistem operasi terkini Windows 10 Mobile. Bagi saya, pengalaman menggunakan telefon Windows sangat menarik atas kehadiran antaramuka Live Tiles yang ringkas dan minimalis. Bukan itu sahaja, telefon Windows juga terkenal dengan pengoperasian yang lancar walaupun didatangkan dengan spesifikasi rendah.
Cuma, Windows 10 Mobile masih lagi dikekang dengan masalah aplikasi, baik dari segi ketiadaan aplikasi di platform ini dan masalah aplikasi yang tidak diberi kemaskini selari dengan platform Android dan iOS. Namun dengan kehadiran inisiatif Universal Apps, masalah aplikasi-aplikasi ini mungkin bakal berubah seperti mana aplikasi Facebook, Instagram & Spotify yang bakal diberi nafas aplikasi Universal Windows Platform (UWP) untuk platform Windows 10.
Bercakap mengenai spesifikasi, Lumia 430 didatangkan dengan skrin 4.0-inci, cip Snapdragon 200 dwi-teras Cortex A7 1.2GHz, memori 1GB RAM, storan dalaman 8GB, kamera belakang 2MP, kamera hadapan VGA, bateri 1500 mAh, dan sistem operasi Windows Phone 8.1 (dengan penaiktarafan ke Windows 10 Mobile secara percuma).
Harga
Original: RM250
02
Lenovo A1000
Telefon RM250 dengan Android 5.0 Lollipop

Lenovo A1000 White

Saya pernah mencuba menggunakan peranti ini dan saya akui, saya suka dengan prestasi telefon ini. Ia cukup pantas bagi sebuah peranti peranti bajet, baik dari segi prestasimultitasking dan permainan. Dua perkara yang menarik perhatian saya, ia hadir dengan Android 5.0 Lollipop dan storan 8GB. Sehingga setakat ini, tidak banyak peranti di bawah paras RM300 yang hadir dengan Android 5.0 Lollipop dan 8GB untuk storan dalaman. Majoriti dijana dengan Android 4.4 KitKat dan storan 4GB yang dilihat rendah untuk pemasangan aplikasi.
Apabila sesebuah peranti Android itu dijana dengan Android 5.0 Lollipop dan ke atas, jaminan mendapatkan pengalaman penggunaan terbaik itu tinggi kerana Lollipop memerlukan hardware yang cukup berkuasa untuk beroperasi dengan lancar. Selain prestasi, Android 5.0 Lollipop juga lebih mengutamakan pengalaman penggunaan yang moden melalui antaramuka Material Design. Jadi dengan bajet di bawah RM300, semestinya anda tidak lagi tersekat dengan pilihan peranti pada era KitKat.
Dari segi spesikasi, Lenovo A1000 hadir dengan skrin 4.0-inci, cip Spectrum SC7731 empat-teras Cortex A7 1.3GHz, memori 1GB RAM, kamera belakang 5MP dengan rakaman HD, kamera hadapan VGA, bateri 2000 mAh, dan dijana dengan Android 5.0 Lollipop.
Harga
Original: RM249
01
Asus Zenfone C
Kompak dan berkuasa

Zenfone C

Zenfone C menduduki tempat pertama dalam senarai ini atas keseimbangan dari segi spesifikasi, fungsi, rekaan, dan nilai harganya. Ia tampil dengan spesifikasi terbaik dalam kelasnya baik dari segi prestasi dan penggambaran. Dalam senarai ini, Zenfone C dilihat lebih berkuasa dari segi kamera melalui sensor 5MP f/2.0 autofokus dengan kebolehan rakaman video setinggi 1080p.
Apabila dinilai segi rekabentuk, Zenfone C juga menampilkan rekaan paling menarik di antara semua peranti dalam senarai ini dengan kemasan binaan premium “Zen” di bawah peranti. ASUS juga turut tidak terkeculi membawakan teknologi audio SonicMaster dan teknologi kamera PixelMaster ke peranti ini walaupun ia merupakan variant asas dalam siri Zenfone.
Meninjau dari segi spesifikasi, Zenfone C didatangkan dengan skrin 4.5-inci, cip Intel Atom Z2520 dwi-teras 1.2GHz dengan HT, memori 1GB RAM, storan dalaman 8GB, kamera 5MP dengan rakaman HD penuh 1080p, kamera hadapan VGA, bateri 2100 mAh, dan Android 4.4 KitKat bersama antaramuka moden ZenUI.
Harga
Original: RM288

Comments