Catatan Pinggir on Jerebu by Rem Dambul

Haze situation in Malaysia

i
Dalam bidang sains atmosfera, pencemaran udara adalah satu tujah-selidik yang penting. Otak saya sudah tepu meleleh, dek bergelumang isu ini sejak dari Master, PhD hinggalah Pos-doktoral. Saya menelitinya menerusi kacukan perspektif Klimatologi dan Geografi; yang menyorot proses fizikal jerebu, dan perkaitannya dengan aspek kemanusiaan.

Serius cakap. Sudah bosan dan letih. Berkokok dengan nada yang sama untuk satu masalah yang tidak pernah selesai. Maka sekali ini, saya tidak lagi mau bercakap atas kapasiti penyelidik, dengan pendekatan akademik yang bersopan-santun. Sekarang saya mau memberontak tentang perkara ini, atas kapasiti seorang manusia normal yang beremosi. Selaku seorang rakyat Malaysia yang sedang marah.

So, get ready people.

[Nota amaran: Ini adalah pendapat peribadi dan kasual. Dilarang memetik sebarang kenyataan saya di sini untuk tujuan ilmiah atau rasmi!]

ii
Jerebu adalah terminologi generik yang diguna untuk merujuk bahan cemar udara daripada kategori partikel halus bersaiz antara 0.2 – 2.0 mikron. Ia boleh diakibatkan oleh bermacam punca: asap kilang, kenderaan, pembakaran hutan, etc. Ia juga boleh berlaku pada pelbagai skala: sama bersifat tempatan, atau berciri regional yang merentas sempadan.

Itu jerebu secara umum. Tapi konteks tulisan saya hari ini adalah spesifik. Saya merujuk khusus kepada ‘insiden jerebu Asia Tenggara’, yang juga dikenali dengan panggilan puaka: ‘the ASEAN brown shit’. Puncanya? Alah, satu galaksi sudah tahu. Ia satu malapetaka ciptaan manusia, yang telah mula dikesan di rantau ini sejak 1980-an. Namun insiden kritikal cuma mula terasa sekitar 1990-an.

Siapa pembikin onar? Nanti. Kita akan sama-sama mencemuh tentang ini kemudian. Tapi sebelum itu, saya mau memahamkan dulu modus operandi dan mekanisme di sebalik fenomena yang keji ini. Dari dua sudut penting, iaitu sains tabii (i.e. berkait sirkulasi udara sinoptik Asia Tenggara) dan sains manusiawi (i.e. bersabit percaturan sosiopolitik regional ASEAN).

iii
Kata Plato, pemikir tersohor Yunani yang sudah lama menjadi fosil, permulaan terbaik untuk mencari kebenaran ialah dengan cara menyoal.

Maka, saya mahu bermula dengan membangkitkan satu persoalan untuk difikir dan dijawab oleh para peminat tegar saya di FB ini: Ibukota negara (baca: capital city) manakah yang tidak pernah dilanda oleh ‘ASEAN brown shit’ yang maha celaka ini – sejak dulu, kini dan selama-lamanya? Mungkin ada yang sedikit lemah dalam subjek Geografi. Jadi, biar saya bagi pembayang pilihan: (a) Kuala Lumpur; (b) Bangkok; (c) Jakarta; dan (d) Bandar Seri Begawan. Hah, mana satu? Teka-lah.

Mahu tahu jawapan? Ok, jangan ada yang terkejut badak sampai pengsan terduduk. Ya, jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah: Jakarta. Jika fakta itu diterjemah dalam bahasa ekonomi, kita akan nampak ada sesuatu yang mencurigakan.

Dalam kemelut jerebu sekarang, cuba pertimbangkan situasi hipotetikal ini. Sebagai langkah paling praktikal untuk mengubahsuai last-minute, travel arrangement yang telah dibuat sejak berbulan-bulan dulu; maka, ribuan pelancong Eropah, Arab dan Jepun yang sudah buat tempahan percutian summer di Kuala Lumpur, Singapura dan Borneo – bolehlah melencong ke Jakarta dan lokasi-lokasi menarik lain di sekitar Pulau Jawa. Demi mengelakkan bahana ‘ASEAN brown shit’.

Siapa yang untung agaknya? Bagi sesetengah komuniti, jerebu ini sinonim dengan musibah dan airmata. Bagi sekumpulan manusia lain, ia bakal membawa rupiah melimpah dan bahagia duniawi.

iv
Mari saya jelaskan dari sudut klimatologi sinoptik kenapa Jakarta selalu selamat daripada petaka jerebu regional ini. Yang dicipta di buminya sendiri.

Punca utama ‘ASEAN brown shit’ adalah pembakaran hutan/ladang secara terbuka (Nota: Indonesia suka menyebutnya sebagai ‘kebakaran’ dan bukan ‘pembakaran’. Jangan terpedaya. Itu cuma satu helah dan propaganda media). Ini berlaku pada dua wilayah utama: Sumatera dan Kalimantan. Kadang-kadang juga di sekitar Pulau Batam. Ketiga-tiga tempat ini, berdasarkan lokasi relatif latitud, terletak di bahagian utara Jakarta.

Pembakaran terbuka ini pula, selalu berlaku pada monsun barat-daya (Mei-Okt) yang kering. Fasa ini dikenali sebagai ‘musim penyediaan ladang’ – kerana yang menyusul selepas ini adalah monsun timur-laut (Dis-Mac), yang membawa cuaca lebih basah. Dalam konteks pertanian tradisional, monsun susulan itu dikenali sebagai musim semi (baca: menyemai benih).

Kitaran udara sinoptik Asia Tenggara pada monsun barat-daya secara amnya bergerak dari hemisfera selatan (benua Australia bertekanan rendah) ke hemisfera utara (tanah besar China yang bertekanan tinggi). Pengaruh daya korialis akibat putaran bumi, akan memesongkan angin yang bergerak selatan-utara ini menjadi barat-daya. Tetapi arah tiupan yang sudah terpesong sedikit ini tetap akan membawa bahan cemar jerebu (yang terhasil di Sumatera, Batam dan Kalimantan) menjauhi Pulau Jawa, iaitu tempat terletaknya Jakarta, pusat tadbir Indonesia serta pelbagai destinasi pelancongan lain e.g. Bali, Bandung, etc.

Bermakna, serakan jerebu itu akan berbondong-bondong menuju ke bandar-bandar utama Asia Tenggara yang berada di utara kawasan pembakaran. Malaysia Barat, Singapura, Brunei dan Malaysia Timur adalah mangsa-mangsa yang terdekat. So these areas got the ‘best’ of the haze production!

v
Itu penjelasan kenapa insiden ini berlaku, dari segi sains atmosfera. Dan, itu jugalah yang memberi bayangan kenapa masalah ini tidak pernah selesai sejak 30 tahun dahulu. Ia sentiasa datang semula, berulang-ulang. Sebab negara pencetus onar ini tidak mendapat akibat yang signfikan; berbanding negara-negara jirannya. Jadi, kenapa mereka perlu peduli?

IBU KOTA adalah nadi sesebuah negara. Ia adalah tunggak tadbir-urus dan pusat utama kitar ekonomi; sekaligus menjadi titik tumpuan media yang bakal mengolah persepsi dunia terhadap negara tersebut. Jika Kuala Lumpur diisytihar berjerebu, maka impaknya tercalit ke seluruh negara. Pelancongan akan merudum, termasuklah di Langkawi – sekalipun jerebu di pulau itu barangkali tidaklah terlalu kronik.

Tetapi jika Pontianak (Kalimantan) atau Medan (Sumatera) diberitakan ada jerebu – reputasi Indonesia tidaklah terpukul sangat pada mata dunia. Just remember, the international ‘flag carrier’ for Indonesia is Jakarta. Lantaran itu, jika ditinjau dari sudut pendirian politik serantau – pemerintah Indonesia jelas tidak mempunyai iltizam pentadbiran yang cukup kuat untuk menangani isu ini dengan efektif. Because this ‘brown shit’ doesn’t hit Indonesian where it hurts the most. But it does to other countries: especially Singapore, Malaysia and Brunei.

vi
ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution (ATHP) digubal oleh ASEAN pada tahun 2002 sebagai usaha membendung insiden dan impak jerebu regional ini. Malaysia adalah negara pertama yang meratifikasinya pada Disember 2002. Kemudian diikuti oleh Singapura dan Brunei pada tahun berikutnya; sebelum disusuli oleh negara-negara lain. Paling akhir menandatangani perjanjian serantau ini adalah Filipina pada 2010.

Itu yang TELAH ratifikasi. Malangnya, masih ada SATU negara yang degil ketegar tidak mahu mengiktirafnya sampai sekarang: iaitu, Indonesia. Ini sangat ironi – kerana kunci penyelesaian jangkapanjang bagi masalah ini terletak di tangan pemerintah Indonesia. Anehnya, negara ini pula yang tidak serius mahu mencari penyelesaian. Kedegilan itu tentu sekali dimotivasikan oleh pelbagai agenda tersembunyi yang bermotifkan dua perkara utama.

Pertama, kuasa politik status quo. Negara ini mahu terus dilihat sebagai ‘entiti paling gagah’ menerusi percaturan tarik-tolak jerebu ini, sesudah mereka kehilangan takhta sebagai juara tetap Sukan SEA, sejak beberapa tahun kebelakangan. Kedua, manfaat ekonomi. Sebenarnya salah satu tarikan pelabur asing untuk membangunkan ladang-ladang komersial di Indonesia (kelapa sawit, khususnya) adalah kerana kos operasi yang murah. Kenapa murah? Sebab boleh bersihkan ladang dengan cara ‘slash-and-burn’ saja. Tidak perlu berbelanja tinggi untuk buruh dan peralatan.

Kenapa begitu sekali; negara itu tiada undang-undang alam sekitar-kah? Memang ada. Tapi keazaman penguasa Indonesia untuk menguatkuasakannya – itu satu hal yang lain. Perlukah Jakarta gigih sangat mahu membanteras perkara ini, sedangkan ia menguntungkan mereka? Itu persoalannya.

vii
ATHP sepatutnya boleh bertindak sebagai platform untuk memberi keadilan (dari segi perundangan) kepada negara-negara yang dimangsakan oleh malapetaka yang bersifat trans-boundary. Selain aspek legal, ia juga satu wadah untuk mengukuhkan kerjasama serantau bagi menangani isu ini – misalnya, menerusi perkongsian kepakaran, teknologi dan tenaga manusia. Sama ada dalam usaha bersama mahu menguatkuasa undang-undang alam sekitar, memantau masalah yang berlaku mahupun menebat impaknya kepada komuniti.

Gagasan ATHP (walaupun skopnya spesifik kepada isu jerebu) ada sedikit persamaan dengan kewujudan ‘court of justice’ bagi European Union. Yang mempunyai kuasa untuk mengurus hal-hal perundangan yang berkait dengan isu-isu rentas sempadan: misalnya, yang melibatkan jenayah dan pencemaran.

Dalam konteks Eropah, jika mahkamah itu tidak diwujudkan – maka, ahli-ahli negara yang berkongsi sempadan, sungai dan ruang udara itu boleh saling ‘mendajalkan’ jiran-jiran di kiri-kanan. Sebagaimana yang sedang dibuat oleh Indonesia sekarang dalam konteks pencemaran jerebu.

viii
Ada macam-macam alasan kerajaan negara seberang bila diajukan isu pasal jerebu. Kadang-kadang sensitifnya terlebih-lebih. Pantang ditegur, mulalah melenting. Seolah-olah mereka adalah mangsa yang menderita, bukan si pembuat onar.

Alasan paling lazim: oh, kebakaran hutan! Macamlah dia saja yang ada hutan. Malaysia, Filipina, Thailand dan Brunei pun ada hutan. Dari jenis yang sama, di bawah pengaruh iklim yang serupa. Kenapa hutan awak saja yang asyik terbakar secara besar-besaran? Hutan negara lain tidak pula dijilat api pada skala gadang begitu.

Satu lagi. Kenapa kebakaran hutan secara massive itu hanya berlaku pada monsun barat-daya, ketika angin sinoptik sedang berpuput dari hemisfera selatan menunju ke negara-negara Asia Tenggara di utara: Singapura, Malaysia, Brunei, et. al. Ketika angin monsun bergerak turun dari utara menuju ke Jakarta, tidak pula berlaku ‘kebakaran’ hutan secara besar-besaran.

Kenapa begitu? Jawabnya mudah. Sebab ini bukan ‘kebakaran’ yang berlaku di luar kawalan. Ini adalah ‘pembakaran’, iaitu satu tabiat keji yang telah dipupuk dan disokong secara sistematik sejak dahulu. Tiada sikap SERIUS pihak penguasa tempatan terhadap permasalahan ini.

ix
Juga sering dinyatakan, kebakaran (atau pembakaran) yang berlaku di ladang dan hutan itu turut melibatkan syarikat-syarikat dari Malaysia dan Singapura. Ini adalah ayat diplomat paling gampang.

Isunya di sini, bukan soal syarikat yang membakar itu berasal dari negara mana. Tidak peduli sama ada kompeni itu berdaftar di Alaska, Malta ataupun Nicaragua. Yang mendapat untung daripada pelaburan mereka itu, siapa? Yang membenarkan mereka datang berladang di sana itu, siapa? Yang menjadi pemerintah tanah di mana jenayah kemanusiaan (baca: ASEAN brown shit) itu dilakukan, siapa pula?

Tidak perlu membabitkan pihak lain kerana kegagalan untuk memantau dan mengurus obligasi negara sendiri. Adakah Indonesia secara tersiratnya mahu memberitahu Malaysia dan Singapura untuk bertindak kepada syarikat-syarikat yang berasal dari dua negara ini? Bagaimana cara? Dengan menghantar PDRM atau penguasa JAS ke Sumatera dan Kalimantan?

Salah satu tujuan ATHP digubal adalah untuk mengusulkan kerangka perundangan ASEAN bagi hal-hal yang bersabit dengan kecurangan alam-sekitar (khususnya, oleh industri perladangan yang boleh mencetuskan jerebu). Tapi Indonesia masih tidak ratifikasi perjanjian tersebut. Jadi bagaimana Malaysia dan Singapura boleh membantu? Sedangkan tidak ada platform untuk berbuat begitu (implementasi perundangan berbentuk rentas sempadan).

x
Buat masa ini, hanya Malaysia yang berani secara konsisten dan berterusan memberi tekanan kepada Indonesia. Agar negara itu meratifikasi ATHP, sekaligus membuka jalan penyelesaian (yang mungkin lebih efektif?) untuk mendepani isu jerebu yang sudah berlanjutan lebih tiga dekad ini.

Singapura dan Brunei masih belum berani mengkritik secara terbuka dalam mana-mana sidang kemuncak rasmi ASEAN. Sedangkan mereka juga mangsa utama. Kita tahu kenapa. Sebab mereka ini negara kerdil (dari segi saiz dan populasi); dan tiada pasukan tentera sendiri. Jadi mereka sangat berhati-hati untuk tidak memprovokasi sang garuda. Sejarah ‘ganyang Malaysia’ cukup sebagai satu peringatan, supaya insiden yang sama tidak berlaku pada mereka.

Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar terlalu jauh di utara. Kesan jerebu agak minimal. Lagipun ketiga-tiga negara ini sedang bergelut dengan perjuangan sosio-ekonomi yang masih jauh ketinggalan. Tidak berbaloi membuang masa dan tenaga, mahu bertelagah dengan Indonesia untuk isu yang tidak signifikan pada negara sendiri. Sebab itu, mereka tidak masuk campur.

Thailand dan Filipina, sekalipun ada juga terkesan dengan jerebu, namun ia hanya melanda secara kritikal kawasan di selatan (e.g. Patani dan Mindanao). Impaknya tidak terlalu ketara di Bangkok dan Manila, iaitu nadi pentadbiran dan ekonomi utama. Jadi dua negara ini pun tidak bermotivasi sangat mahu menyibuk. Lagipun mereka ada isu domestik yang lebih runcing mahu diurus: iaitu pemberontakan gerila pemisah di wilayah-wilayah selatan (yang kebetulan terdedah kepada petaka jerebu). Siapa tahu, mungkin Bangkok dan Manila diam-diam menyukai kedatangan jerebu. Agar padan muka para pemberontak itu!

xi
Berdasarkan situasi semasa sosio-politik ASEAN, nampaknya langkah ke hadapan bagi isu jerebu regional: akan banyak bergantung kepada peranan Malaysia. Manakala kunci penyelesaiannya digenggam erat oleh Indonesia.

Dari segi sains atmosfera, fenomena semulajadi kitaran angin sinoptik memang sangat memihak kepada negara pembikin onar. Dari sudut kemelut sosio-politik ASEAN pula, agak tricky bagi Malaysia untuk mendapat dokongan efektif negara-negara lain. Due to the unfortunate circumstances, the other countries are currently dealing with.

Kesimpulan? Tidak ada pilihan lagi, kecuali satu. Malaysia mesti menjadi lebih tegas dan berani, di peringkat regional dan internasional. Sandaran kepada kekuatan ini haruslah dibina di peringkat domestik. Caranya? Rakyat mesti bersatu, dan tidak menzahirkan sebarang petunjuk perpecahan yang akan menaikkan moral negara seberang. Untuk terus memperlekeh tekanan yang cuba diberi oleh negara kita, berhubung isu jerebu ini.

xii
Mari beri segenap jiwa kita untuk membina moral negarabangsa Malaysia yang satu, dalam menangani kemelut sosio-politik serantau ini. Dalam isu ‘pencerobohan Sulu’, kita gagal bersoladiriti dengan padu, kerana terlampau ghairah menyembah berhala politik masing-masing.

Kini, kita diuji sekali lagi dalam isu ‘serangan jerebu’. Ini soal yang terang lagi bersuluh. Bukan perkara yang hanya bersandar persepsi dan kecenderungan mazhab politik semata-mata. Dari sudut mana pun kita melihatnya, ia tetap merupakan satu bentuk ketidakadilan kepada negara. Justeru, mampukah kita bersolidariti menentang kezaliman ini?

Semua penggemar politik kepartian Malaysia – baik dari kelompok pro kerajaan mahupun pro kerabangkang – jadikan musibah ini sebagai titik penyatuan. Buat seketika, tolonglah berhenti menjadi kera-kera fanatik politik yang memecahkan. Kerana kita ada perjuangan yang lebih besar di hadapan.

Source: Facebook Rem Dambul

Comments